[VIDEO] UMNO sentiasa bersedia hadapi PRN Johor – Khaled Nordin

KOTA TINGGI - UMNO sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jangkaan seperti itu bukan perkara baharu dan parti-parti politik lazimnya membuat andaian berdasarkan situasi semasa.

Bagaimanapun beliau berkata, tarikh PRN Johor hanya akan ditentukan mengikut penggal pentadbiran negeri yang berakhir pada Mac 2027, bukannya berdasarkan ramalan mana-mana parti politik.

**media[3116478]**

"Saya ingat parti-parti politik memang biasa buat jangkaan, tapi yang penting bagi kita (UMNO) sentiasa bersedia berdepan apa juga kemungkinan.

"Penggal pentadbiran negeri akan berakhir pada Mac 2027.

“Setiap hari yang berlalu makin dekat dengan tarikh tamat penggal. Maka kita memang kena bersiap dari sekarang. UMNO Johor sentiasa bersedia," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran JanaVeteran di Ladang Telok Sengat di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menjangkakan PRN Johor boleh berlaku seawal-awalnya pada awal tahun hadapan.

Tambah Sheikh Umar, sama ada PRN nanti menyaksikan DAP bertanding atas tiket Kerajaan Perpaduan atau Pakatan Harapan (PH), kekuatan akar umbi kekal sebagai kunci utama kejayaan parti.